Saturday, 26 October 2013

BISIKAN KATA-KATA SYURGA


Adam menerima nota yang diselitkan pada tingkap bilik di kolej kediaman. Jam 7.00 malam baru balik dari padang bola, bermain dengan hanya berkaki ayam. Nota ringkas berbunyi “Ayah di hospital, hubungi abang.” Ringkas, tetapi membuat Adam tidak senang duduk.

Ayah dimasukkan di hospital kerana strok peringkat awal. Pada usia 63 tahun, dia berbaring di atas katil. “Saya tidak apa-apa,” kata beliau dengan suara tidak jelas. Mungkin ayah kurang selesa dengan keadaan ini. Ayah dikerumuni oleh anak-anak, adik-beradik, menantu dan isteri.

Ayah tidak suka susahkan orang lain. Sedaya upaya, beliau melakukan semuanya sendiri. Kami sekeluarga pernah terkejut dengan tindakan ayah pulang dari Institut Jantung Negara selepas beberapa hari selesai menjalani pembedahan pintasan pada jantung.

Ayah pulang sendiri tanpa memaklumkan pada keluarga. Cukup seminggu di hospital, beliau keluar selepas mendapat rawatan dan ubat yang diperlukan. Dari hospital, beliau menaiki teksi ke Pudaraya, menaiki tangga ke Pudaraya, kemudian menaiki bas ekspres pulang ke Melaka. Dari Melaka, beliau menaiki kereta sewa, iaitu panggilan lain untuk teksi tanpa meter tambang.

Ayah tiba di rumah dengan beg baju di tangan kanan dan bantal kecil di dadanya yang digunakan untuk melindungi bekas jahitan di dadanya.

Ya, beliau balik seorang diri.

Selepas lima tahun, kesihatan ayah kembali merosot.

Kali ini beliau tidak dapat melakukan perkara yang sama lagi. Ayah perlu berehat di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Ibu menguruskan ayah di rumah. Kebersihan ayah diutamakan. Ayah biasanya bercukur dan memastikan rambutnya disisir kemas dan tidak dibiarkan panjang. Itulah yang ibu kekalkan. Pernah ibu memanggil jiran yang sudah biasa memotong rambut di kawasan kampong, tetapi beliau menolak dengan alasan mesin rosak dan gunting tumpul. Jiran itu takut pada dua perkataan, iaitu mayat dan orang sakit.

Akhirnya ibu meminta kawan baik ayah untuk mencarikan seorang tukang gunting rambut. Seorang tukang gunting rambut india datang ke rumah dan melakukan apa yang diperlukan. Tidak lama kemudian, ayah dimasukkan ke hospital semula. Beliau tidak mahu membuka mata dan diam sahaja. Badannya kekal diatas katil, tidak bergerak. Itulah keadaan beliau setiap hari.

Seminggu selepas peperiksaan, Adam pulang mengambil alih tugas ibu menjaga ayah di hospital. Adam tidak tahu apa yang mahu dibualkan bersama ayah. Adam tahu beliau tidak akan menjawab meskipun beliau dengar dengan jelas. Beliau tutup mata rapat-rapat, sengaja tidak mahu dibukanya. Adakah beliau tidak mahu melihat wajah kami yang sedang melihatnya ? ayah lebih tahu.

Hanya sekali beliau membuka mata, itu pun dipaksa oleh doktor yang dua kali mencucuk jarum pada tangan ayah. Cubaan pertama, Adam yakin doktor itu tersilap mencucuk jarum halus itu.

Apa yang Adam mahu berbual dengan ayahnya ?

Hanya ada Al-quran yang dibawa bersama, sebuah buku yang dibeli dikedai tingkat bawah. Diselak helaian Al-quran dan dibacanya disisi kanan katil, dekat pada telinga ayah. Adam membaca teks arab dan terjemahan bersama-sama, supaya anak yang berasa dirinya jahil dan ayah yang diam itu faham.

Adam bukan qari yang merdu bacaannya. Adam bukan hafiz yang mengafaz yang menghafaz dengan jiwa dan fikirannya. Adam bukan pelajar sekolah agama yang mahir bahasa arab. Adam hanya bekas pelajar yang masih merangkak-rangkak dengan amal yang tidak seberapa. Mahu jadi anak soleh pun Adam tidak pasti sama ada dia sudah melakukan perkara yang betul atau tidak. Dialog apa yang mahu Adam bicarakan melainkan bacaan Al-quran  dengan merangkak-rangkak itu?

Apabila membaca teks Al-quran yang bercerita tentang syurga, Adam membaca dengan jelas bersama terjemahan. Bagaimana pula teks Al-quran yang bercerita perihal azab dan api neraka? Teks Al-quran dibaca, tetapi terjemahan itu tidak dibaca. Dia melompat ke teks seterusnya.

Sehari demi sehari Adam di situ. Sehingga 12 Jun 2009, pada paginya Adam menonton para jururawat muda disitu membantu membersihkan ayah. Ada mesin khas yang digunakan untuk mencuci bahagian mulut dan lendir dalam tubuh yang terkasil sehingga ia menyukarkan pernafasan dan saluran makanan.

Ketua jururawat mara-marah, entah apa yang dimarahnya. Mungkin Adam begitu mendesak. Kemudian Adam bertanya kepada seorang jururawat. Tidak lama kemudian, jururawat itu dating bersama rakannya. Kemudian dating lagi dua tiga orang jururawat. Kemudian dating lagi sehingga menggelilingi katil ayah.

“Tarik kain tu nanti dia nampak” kata seorang jururawat sambil menoleh kiri dan kanansambil menarik kain yang menyekat pandangan Adam daripada ayah. Enam orang jururawat membersihkan ayah sepenuhnya. Adam sendiri hairan mengapa begitu ramai bersungguh-sungguh membersihkan tubuh ayah. Sebelum ini Adam pernah dimasukkan ke hospital kerana kemalangan tetapi hanya dua orang yang menguruskannya.

Malam 12 Jun 2009, Adam duduk dikerusi tetamu yang berada hampir dengan katil ayah. Badan ayah masih begitu.  Seorang jururawat sibuk melakukan pemeriksaan berjadual dan mencatat sesuatu. Adam melihat ayah terbaring sama seperti hari-hari lain. Bezanya urat leher ayah turun naik seperti hari-hari lain.

Adam mendekat, tidak tahu itu saat hidup di dunia akan beralih kepada kehidupan yang lain. Syahada diucapkan di telinga kanan, kelihatan bibir ayah terangkat sedikit menyahutnya, matanya tertutup rapat, kemudian semuanya tenang kembali.

“ Nurse, ayah saya sudah tiada lagi,” kata Adam kepada jururawat yang masih sibuk menulis di tepi katil.

“Tidaklah, saya baru beri rawatan sebentar tadi. Dia baik-baik saja,” katanya.

Pesakit berbangsa cina di sebelah katil ayah bersama-sama anaknya melihat Adam. Mereka diam saja memandang Adam. Antara terkejut dan takut. Adam tidak ada keberanian memberitahu berita itu kepada ibu yang baru beberapa jam pulang ke rumah.

Adam memasukan syiling di telefon awam yang berada di tingkat bawah. Suara ibu jelas di hujung sana, Adam berkata “Ayah su…”terhenti kata-katanya.

Sekali lagi Adam memberanikan diri mahu berkata, “Ayah su…” terhenti sekali lagi

Jururawat menghampiri, mengambil gagangan telefon. Adam hanya berdiri mendengar jururawat itu meluahkan hakikiat kepada ibu.

13 Jun 2009, ayah di kebumikan di tempat yang sama dengan moyang datuk, dan nenek Adam disemadikan. Rakan baik ayah bersama Rahim buat pertama kalinya turun ke liang lahad, satu perkara yang tidak pernah dilakukan sepanjang hidupnya selama 50 tahun. Semuanya demi mempermudaahkan urusan rakan baik yang dikenali sejak muda.

Perbualan Adam dan ayah adalah perbualan syurga dan neraka. Perbualan harapan diterjemah kata oleh Adam, supaya pejam mata ayah, nampaklah syurga.

Itu harapan Adam, apabila ayah membuka matanya semula, rumah di syurga bagi beristirahat  sudah tersedia untuknya.

**cerita dari syurga (keluaran PTS)**

No comments:

Post a Comment